BERDUSTA UNTUK NABI ATAU BERDUSTA KE ATAS NABI?

BERDUSTA UNTUK NABI ATAU BERDUSTA KE ATAS NABI?
Sabda Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka”
Hadith di atas diriwayatkan oleh lebih 70 sahabat secara langsung dari Nabi Muhammad SAW dan ia merupakan contoh paling tepat berkenaan dengan Hadith Mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi dengan jumlah yang tidak masuk akal mereka itu boleh berpakat untuk menipu atau melakukan kesalahan terhadap periwayatan tersebut.
Memang menggerunkan, untuk kita berfikir tentang adanya perbuatan seseorang yang mendustakan Nabi SAW. Berdusta ke atas baginda, merupakan suatu keingkaran yang memanifestasikan kekufuran dan kedegilan manusia untuk tunduk kepada hidayah dan penyerunya.
Amat sering kita temui, pendakwah-pendakwah masa kita menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, sedangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang sandaran keyakinan bahawa benarkah Baginda SAW pernah bersabda begitu. Mereka dengan mudah mendakwa memakai pakaian ini adalah sunnah, makan seperti ini adalah sunnah, sedangkan mereka sendiri tidak tahu apakah makna sunnah dan apakah benar Nabi SAW itu sendiri benar-benar pernah berpakaian demikian atau makan seperti itu. Tidak lain dan tidak bukan, semuanya adalah kerana sikap negatif pendakwah seperti ini terhadap nas. Mereka juga lupa bahawa soal dosa dan pahala adalah hak Allah SWT. Mana mungkin kita mensabitkan pahala seperti itu. Siapakah yang memiliki ‘pahala’ itu untuk diberikan kepada manusia? Maka dengan mudah sahaja, para pendakwah menjustifikasikan kata-kata “membasuh talam makan, adalah sama seperti membasuh Masjid Nabawi” sebagai hadith yang boleh menggalakan kebersihan dan gotong royong membersihkan talam!
Kesimpulannya, pendustaan-pendustaan ke atas Rasulullah SAW pada hari ini berlaku secara berikut:

1. Menolak ajaran Islam sama ada secara total, atau dengan cuba mengenengahkan Islam 'baru' yang bertujuan merobohkan aspek-aspek terasnya.

2. Menolak sunnah secara total. Misalnya golongan anti Hadith atau mungkin juga golongan yang tidak mengisytiharkan pada lisan tentang penolakannya terhadap Hadith, namun perbuatannya amat mengkesampingkan Hadith dari kehidupan.

3. Meniru kelakuan ahli Qasas (tukang cerita) yang amat gemar mencipta 'hadith' palsu demi meraih rasa kagum pendengar dari kalangan khawas (orang awam) kepada ucapan-ucapannya. Hari ini, para penceramah, pakar motivasi dan pembimbing masyarakat amat mudah terjebak kepada kelakuan buruk ini. Mereka menisbahkan cerita-cerita pelik yang berjaya mereka temui, kepada Nabi SAW tetapi kemudiannya tanpa disedari mereka sedang melukis potret Nabi SAW kepada suatu figure khayalan, luar biasa dan lagenda, sehingga hilang sifat murni perkhabaran tentang Baginda SAW sebagai uswah.

4. Mendakwa dengan sewenang-wenangnya bahawa pakaian begini adalah sunnah, cara duduk begitu adalah sunnah, zikir cara begini adalah sunnah, sedangkan semuanya didakwa tanpa sandaran asal usul dan dalil.

Jadikanlah semua ini sebagai peringatan khususnya kepada pendakwah, ustaz-ustaz di kuliah dan penceramah-penceramah motivasi. Sememangnya kumpulan ini perlu membuat reformasi besar-besaran terhadap persembahan dakwah mereka untuk meningkatkan kesan positif. Namun, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan mencampur adukkan galakan-galakan yang berasaskan kepada hadith palsu, mereka-reka pahala, dan ancaman atau targheeb yang tidak berasas lagi dusta.
Didiklah masyarakat agar mengharga ilmu yang berdisiplin. Dekatkan mereka kepada nas dan timbulkan rasa megah dapat beramal dengan apa yang terbukti datang dari Nabi SAW.
Sesungguhnya syariat Islam sudah terbina kukuh di atas bekalannya yang sahih. Para ulama sudah begitu banyak berjuang di medan amanah ilmu, untuk mempertahankan kemurnian dan ketulenan rujukan ajaran Islam. Membina kesedaran masyarakat melalui hadith palsu, adalah seumpama membina kekayaan di atas hutang. Terasa diri kaya tetapi sebenarnya semakin dalam terbenam ke dalam bencana.
Sesungguhnya para ahli Hadith telah membuat suatu jihad yang amat besar di dalam usaha mereka mempertahankan kemurnian disiplin ilmu Hadith. Mereka telah memerangi habis-habisan golongan pereka hadith palsu ini dan menyebar luaskan riwayat yang sahih sebagai bekalan pembimbing masyarakat.
Mudah-mudahan janganlah lidah kita yang fasih ini berhujah, “aku bukan berdusta ke atas Nabi, tetapi aku berdusta UNTUK nabi!”

0 komentar: